Pada penghujung tahun 2019, kartunis terkenal Zunar telah merancang untuk mengadakan satu pameran seni konvensional seperti yang biasa dilakukan beliau pada hampir setiap tahun. Pameran seni konvensional ini akan mempunyai proses tersendiri yang merangkumi pemilihan, pemeriksaan, mencari lokasi dan beberapa perkara lain sebelum ianya benar-benar direalisasikan. Proses ini kebiasaannya memerlukan masa sekurang-kurangnya selama 3 bulan dan perancangan yang begitu rapi ini memerlukan beberapa kakitangan untuk melakukan tugas-tugas tersebut.
Namun, pada tahun 2020 telah berlaku pandemik COVID 19 dan wabak tersebut boleh menimpa kepada sesiapa sahaja. Rancangan untuk mengumpulkan peminat seni menjadi cabaran utama malah perancangan ini telah terjejas dengan agak teruk. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang kami untuk meneruskan impian pameran ini serta merealisasikan segala idea yang telah dicetuskan oleh kartunis Zunar, Pada 26 April 2020, sebagai alternatif kepada perancangan tersebut kami telah memutuskan untuk terus mengadakan pameran seni atas talian. Dengan cara ini kami mempunyai matlamat serampang dua mata.
Pertama sekali, ramai berpendapat bahawa pameran seni hanyalah tertumpu kepada sekumpulan orang yang melihat lukisan dan berusaha mengenal pasti makna di sebalik lukisan tersebut. Justifikasi tidak seimbang ini hadir terutamanya dari kalangan individu yang tidak pernah mengunjungi pameran seni sebelum ini. Oleh yang demikian, kami cuba memberi peluang terbuka kepada semua orang untuk menghargai seni melalui medium atas talian.
Kedua, kebiasaan pameran seni sering diadakan di sesebuah lokasi tertentu untuk satu jangka masa yang agak pendek. Meluangkan masa untuk mengunjungi pameran hanya akan dilakukan oleh individu tertentu yang hanya benar-benar berminat dengan pameran tersebut sahaja. Selain dari waktu operasi lawatan yang mungkin tidak begitu praktikal bagi sesetengah orang. Dengan melalui atas talian, anda akan dapat menghargai pameran seni pada bila-bila masa, di mana-mana platform seperti (desktop, tablet atau peranti mudah alih) mengikut keselesaan serta kesesuaian anda.
Ketiga, kita berpeluang untuk melakukan sesuatu yang agak berbeza. Sekiranya pameran ini dilakukan secara atas talian ia tentunya telah mematuhi norma baru yang meliputi penjarakan sosial, pemeriksaan suhu serta pembersihan dengan penggunaan sanitizer sebelum masuk sesuatu premis. Kami telah memutuskan untuk memastikan semuanya kelihatan nyata dengan membina sebuah rumah agam besar berhantu yang menyeramkan yang memaksa anda untuk memeriksa suhu anda sebelum memasuki galeri pameran tersebut. Ini mungkin juga julung-julung kali satu galeri pameran dilakukan di atas talian. Bukankah ia sesuatu yang agak menarik?
Sekarang, kami akan menerangkan realiti pameran seni tersebut. Langkah pertama adalah dengan menggabungkan 29 orang kartunis dan pelukis yang berbeza di bawah satu bumbung. Dalam pameran ini hanya karya seni terbaik yang dipamerkan. Untuk menghargai hasil usaha karya seni para kartunis dan pelukis yang tidak terpilih untuk dipamerkan di Galeri Utama kami di CRAFTORA telah memutuskan untuk mengadakan satu galeri dinamakan sebagai Galeri Pintu Belakang untuk menunjukkan kepada anda semua karya 29 orang artis yang sama yang tidak terpilih serta tidak disetujui oleh jawatankuasa pemilihan, ianya sama ada konsep lukisan itu tidak mengikut dengan tema pameran atau karya seni tersebut tidak sesuai semuanya akan dapati di dalam Galeri Pintu Belakang.