Nama yang selalu menjadi sebutan ialah Megat. Lahir pada 14hb Ogos 1964 di Taiping, Perak. Telah mendapat pendidikan sehingga tingkatan 5 di Sekolah Menengah La Salle Petaling Jaya. Kemudian menyambung persekolahan ke tingkatan 6 di Yayasan Anda, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Seawal usia 10 tahun, Megat sudah mula menunjukkan minat kepada seni lukisan kartun.
Hasil karya kartunnya mula tersiar di majalah kartun seperti Mat Jenin, Batu Api, Gila-gila, Geli Hati, majalah hiburan seperti URTV, Kisah Cinta dan akhbar Mingguan Perdana, Bacaria, Harian Metro dan lain lain lagi.
Pernah berkhidmat di Kumpulan Media Karangkraf SB sebagai Pereka Grafik dan Pegawai Pentadbiran sehingga tahun 2012. Setelah beberapa tahun bertugas, Megat telah mengambil keputusan bersara awal pada usia beliau 49 tahun untuk meneruskan minat di bidang kartun secara serius di alam maya dan melebarkan kariernya sebagai kartunis.
Lukisan, lakaran dan kartun beliau boleh diikuti setiap hari di FaceBook menggunakan nama Megat Abdul Wahid dan Instagram dengan nama MegatCartoonist.