Kartun pertama Zunar disiarkan ketika beliau berusia 12 tahun pada tahun 1974. Beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam seni kerana mengambil aliran sains. Apabila gagal di UTM, beliau menjadi pelukis kartun profesional pada tahun 1985 dengan menyertai majalah Gila-Gila. Kemudian beliau menjadi pelukis profesional sepenuh masa hingga sekarang. Dengan slogan “How Can I be Neutral, Even My Pen Has a Stand”, Zunar membongkar rasuah melalui lakarannya. Beliau telah menerbitkan 19 buah buku dan kesemuanya telah diharamkan oleh kerajaan BN. Zunar pernah ditangkap sebanyak 7 kali dan didakwa di bawah Akta Hasutan.
Di luar negara, Zunar telah mendapat berbagai anugerah termasuk “Courage in Editorial Cartooning Award” dan “Cartooning For Peace Award” yang disampaikan oleh Kofi Annan. Beliau juga telah dijemput membuat pameran dan berucap di beberapa uviversiti termasuk UCL London, Oxford, Harvard dan University of Louisville. Zunar juga pernah dijemput berucap di PBB Geneva, dan di program kartunis seperti di Washington, Paris, Bilbao, London, Amsterdam dan Berlin.